Friday, August 26, 2011

Persiapan Raya

Assalamualaikum dan salam muhibbah! Pagi ini, sempena diakhir bulan ramadhan ini, alhamdulillah, amalan wajib berpuasa masih saya lakukan. Maklumlah, itu kan tanggungjawab semua manusia yang beragama Islam. Pada entri kali ini, saya bukan nak bercerita pasal puasa tetapi saya nak bercerita tentang persiapan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Lagi dua hari nak sambut raya. Jadi, alhamdulillah, persiapan raya saya pada tahun ini telah lengkap. Saya faham, kita perlu elakkan pembaziran dibulan mulia ni. Jadi, persiapan raya saya hanyalah ala kadar sahaja. Hanya benda wajib saja dibeli. Kelengkapan raya yang terpenting bagi diri saya hanyalah pakaian.

Mari kita semak senarai barang yang saya perlukan untuk menyambut hari raya:

1) Baju Melayu----- Ada;


Baju Melayu saya kali ini berwarna ungu. Umi kata saya pasti nampak macam keling pakai baju melayu warna ungu sebab kulit saya gelap. Tak sesuai dengan warna. Tapi, saya tak kisah sebab saya tak ada fashion sense. Saya tak reti nak pilih warna baju dengan kulit saya. Hehehe.. Apa yang boleh pakai, saya pakai je.

2) Kain Pelikat----- Ada;


Raya kali ni, saya tak pakai Baju Melayu sepasang dengan seluar. Tidak seperti raya dulu-dulu. Saya rasa malu jika pakai baju melayu penuh di Kampung. Maklumlah, semua orang pakai baju melayu beserta kain pelikat. Jadi kali ni, saya nak bersama mereka pakai kain pelikat. Hehehe...

3) Kopiah----- Ada;


Tidak lengkap jika tiada kopiah dikepala. Kopiah saya kali ini berbentuk sebegini. hehehe....

4) Selipar----- Ada;


Lengkap. Selipar kali ini ringkas sahaja. Biasanya, waktu raya, saya akan beli sandle. Tapi kali ini, save budget beli selipar biasa saja.

Segala persiapan sudah lengkap. Jadi, hanya menunggu masa untuk beraya sahaja. Disini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Dan Batin ^_^


-BUBBLEBOY90-

Tuesday, August 23, 2011

Pengalaman bekerja: Seven Eleven

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Entri kali ini, saya nak bercerita pula mengenai pengalaman saya bekerja di kedai serbaneka Seven Eleven. Saya bekerja di Seven Eleven berlokasi di pusat Bandar Puchong. Saya mula bekerja pada 13 Julai 2011 dan berakhir pada 15 Ogos 2011.

Walaupun bekerja sebentar saja, banyak pengalaman dan pembelajaran hidup untuk saya. Antaranya, cara pergaulan. Kini saya yakin dan tahu bahawa saya mampu bergaul dalam semua golongan tidak mengenal usia, jantina, agama dan kaum. Pendek kata, "Satu pergaulanlah". haha...

Saya bekerja sebagai penjaga store atau dengan nama saintifiknya, Store Associate. Kod kedai Seven Eleven tempat saya bekerja adalah 1356 dan kod ID saya adalah 019. Saya tahu kod-kod ini mungkin rahsia tapi ok kot sebab saya pun dah berhenti bekerja. Lagipun, password saya tiada siapa yang tahu melainkan pihak pengurusan saja.

Pada pendapat saya, bekerja di Seven Eleven adalah sangat membosankan dan sedikitpun tidak mencabar. Bagi saya, bekerja di Seven Eleven ini sesuai untuk golongan perempuan yang muda saja. Tapi, sewaktu bekerja, saya rasa seperti terpenjara. Maklumlah, bosan teramat sangat.

Setiap hari, setiap pekerja perlu bekerja selama 8 jam untuk setiap syif. Tapi, disebabkan tempat saya ni kekurangan pekerja, saya perlu kerja lebih dari 8 jam. Memang penat. Lebih-lebih lagi jika syif malam iaitu dari pukul 11 malam hingga 7 pagi. Jika perlu, saya kena bekerja dari jam 7 petang hingga 7 pagi. Memang sangat-sangat letih. Bila tamat saja syif malam, jika nasib tidak menyebelahi, saya perlu masuk kerja semula jam 3 petang. Memang pening-pening lalat jadinya saya.

Boleh dikatakan, saya tiada kehidupan. Tidur waktu siang, bekerja waktu malam. Dunia saya sentiasa gelap. Lagipun, saya rasa berdosa jika bekerja di sini. Maklumlah, pekerja perlu menguruskan minuman beralkohol. Memegang dan menyusun minuman beralkohol memang wajib oleh para pekerja. Saya rasa serba salah. Jadi, jalan terbaik untuk elak benda sebegini adalah dengan berhenti bekerja. Walaupun begitu, saya tetap senyum dan enjoy ^_^

-Snap senyap-senyap dalam store. Takut kantoi CCTV-

Disini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Store Manager saya iaitu Kak Eja kerana sudi ambil saya bekerja walaupun sebentar saja. Ratusan terima kasih juga kepada rakan sekerja yang lain iaitu Suhud, Khairul, Eqa, Naqi, Laila, Syarin dan Kak Shima atas tunjuk ajar dan bekerja bersama. Kenangan bersama korang sentiasa dalam ingatan.

-BUBBLEBOY90-

Monday, August 22, 2011

Pengalaman bekerja: Konsortium Logistik Berhad (K3)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini pula, saya ingin bercerita mengenai perihal pengalaman saya yang lepas. Ini adalah pengalaman pertama saya bekerja dalam hidup. Saya bekerja di dalam sektor industri dan pergudangan bagi syarikat Konsortium Logistik Berhad.

Syarikat Konsortium ini ada banyak cawangan. Cawangan yang telah saya pilih untuk bekerja ialah terletak di Shah Alam berdekatan dengan kilang automatif Proton Malaysia dan dipanggil K3 iaitu Konsortium 3. Untuk pengetahuan semua, syarikat Konsortium Logistik K3 adalah sebagai pengurus logistik serta kelengkapan untuk kilang proton bagi model Inspira.

Saya telah diletakkan di Bay 7 iaitu bahagian body department. Tugas saya adalah mengurus komponen-komponen luaran kereta seperti pintu depan dan belakang, hood, fender front kiri dan kanan, side otr kiri dan kanan, trunk lid (bonet belakang), brace assy kiri dan kanan, fender shield kiri dan kanan, dash panel assy, dan coal top. Kesemua nama komponen-komponen ini perlu saya ingati dan jenis-jenisnya juga perlu saya fahami.

Bagi body department, ia diketuai oleh Encik Haji Rosli Tawil. Beliau seorang yang baik. Kedudukan beliau dalam K3 adalah sebagai Senior Executive. Orang kedua yang bertanggungjawab dalam body department adalah Abang Azhar Kadir. Kedudukan beliau adalah sebagai Executive bagi body department. Beliau seorang yang tegas dan bekerja penuh komited. Dia memang seorang yang baik dan kadang-kala kelakar juga. Orang ketiga yang bertanggungjawab ialah leader saya iaitu Abang Sofian Rokman a.k.a Abang Pian. Beliau seorang yang serius dan susah dijangka. Tapi, yang bestnya, beliau juga kelakar. Sentiasa jadi bahan gurauan pekerja lain. Saya bernaung dibawah kuasa mereka bertiga.

Pada permulaan saya bekerja, memang agak sukar untuk saya mengingati semua komponen-komponen disini. Bila sudah 2 minggu baru saya faham dan kenal. Mula-mula, saya bekerja sebagai pekerja biasa iaitu membuka, mengangkat dan membalut barangan komponen tersebut. Kemudian, saya ditugaskan untuk menguruskan delivery order apabila saya sudah faham mengenai DO. Tugas saya amat bosan sekali sebab saya hanya duduk, cop dan sign DO saja. Tapi, bila Abang Pian tiada, sy ditugaskan untuk mengawal keluar barang ke Proton. Kami perlu teliti dengan setiap kuantiti dan jenis barang yang perlu dihantar sebab kami menggunakan sistem Kanban.

Sistem Kanban adalah satu sistem dimana barang yang dihantar akan terus diproses. Jika barang komponen dihantar tidak mencukupi dan tidak stabil, proses pembuatan kereta terpaksa distop sementara waktu dan syarikat Konsortium perlu membayar ganti rugi. Pada permulaan saya cuba mengawal keluar komponen dulu, 2 kali juga proses pengeluaran Proton Inspira dihentikan. Lama-kelamaan, saya cuba memperbetulkan keadaan.

Saya cuba belajar dan mencari masalah kenapa proses line proton boleh stop dengan alasan komponen tidak cukup. Bila hari-hari berfikir, saya jumpa satu jalan. Saya rasa lebih baik jika dihantar barang komponen lebih dari yang diminta oleh pihak proton untuk diproses kerana masa penghantaran akan jadi stabil dengan masa barang itu sampai. Saya cuba ambil risiko dan alhamdulillah berjaya. Saya dapati memang terbaik dengan cara itu dan diakui oleh semua driver lori. Kerja menjadi lebih cepat dan pantas. Barang komponen Inspira tidak lagi bermasalah. Leader saya juga turut ikut cara saya bekerja.

Bila sudah bosan menguruskan DO, saya drive forklift pula. Forklift telah saya belajar dari mula lagi. Permulaan saya drive forklift, perasaan takut memang ada. Maklumlah, takut terlanggar barang atau pekerja lain. Tapi, alhamdulillah, saya dapat menguasai forklift dengan cekap dan pantas. Saya tidak memuji diri tetapi ramai driver lori berkata demikian. Jadi, tugas terbaru saya adalah menaikkan barang ke dalam lori. Kerja ni tidak penat tetapi perlu bekerja di kawasan panas. Habis kulit saya bertukar jadi gelap akibat sunburn.

Pada 7 haribulan July, Saya berhenti bekerja disana. Untuk pengetahuan juga, saya bekerja dibawah kontrak iaitu dibawah ajen pekerjaan, Astra. Saya telah diserap ke dalam syarikat Konsortium tetapi say tolak peluang tersebut. Saya fikir mahu sambung belajar lagi dan kerja hanya sementara sahaja.

Kepada driver lori, Abang Junaidy, Abang Raunis, Abang Din, Abang Sulaiman, Abang Sufian, Apek dan Abang Affidun serta kengkawan sekerja yang lain, Amirul, Syafiq Samsiri, Syafik, Azmi, Arif, hakim, faiz dan lain-lain, bekerja bersama anda semua amatlah seronok. Pengalaman ini sukar saya lupakan. Terima kasih.


-Forklift saya drive-


-Bersama Hakim-

-Bersama yang lain berkelah KFC. Kumpul duit beli KFC ^_^ Best-

-Bersama Abang Raunis-

Terima kasih juga kepada En Saiful Bahri Shuib, selaku bos terbesar di Konsortium K3. Beliau seorang yang baik dengan saya dan kelakar. Kami selalu bersembang apa saja bila bosan.

-BUBBLEBOY90-

Pengalaman berkayak (flashback)

Assalamualaikum dan selamat petang! Kali ini saya nak bercerita sedikit perihal pengalaman saya yang lalu. Pengalaman saya berkayak sewaktu study di Kolej Profesional Mara Bandar Penawar, Johor. Waktu ni pihak Kolej ada menganjurkan ekspedisi berkayak bertempat di sungai Sedili.Ya, memang saya menyertai ekspedisi kayak itu.

Ekspedisi ini diiringi oleh pihak polis dan anggota bomba. Ekspedisi ini sangat mencabar pada saya. Pada permulaan lagi, kami perlu menempuh arus sungai yang deras. Sebelum ekspedisi, lutut saya agak goyang juga (takut). Maklumlah, ini kali kedua saya berkayak dan kali pertama saya menyertai ekspedisi sebegini. Kali pertama saya berkayak adalah sewaku saya menyertai klinik asas kayak. Dengan melihat keadaan air sungai yang kemerah-merahan itu (maklumlah, sungai paya bakau), hati saya jadi gugup. Tak putus-putus saya berdoa.

Sewaktu nak bermula tu, pasangan kayak saya, Amzar mahu jadi orang pertama turun ke sungai. Nak tak nak, saya terpaksa ikut kata-katanya. Maklumlah, partner katakan. Saya kosongkan fikiran dan mula memilih kayak. Kami pilih kayak warna putih sebab kami rasa bergaya dengan kayak putih. haha.. Dengan otak yang berfikiran kosong dan mengeringkan hati yang sememngnya rasa mahu luruh dari dada saya ni, kami turun ke sungai dan mula mengayuh.

Disebabkan kami orang pertama turun ke sungai, abang jurugambar sempat snap gambar kami. hehe.. bangga sebentar. Terima Kasih kepada beliau. Selepas 5 minit berpusing-pusing atas air sementara menunggu peserta lain turun, kegugupan jantung saya hilang. Saya rasa enjoy dan tak sabar nak mula berkayak.

Bila semua peserta sudah turun ke sungai, kami mula berkayak. Kami berlumba-lumba untuk berada di hadapan. Mula-mula tu memang bersemangat sangat-sangat. Bila bahu dan lengan sudah lenguh, kami memperlahankan kayuhan. Walaupun melawan arus, kami tetap mengayuh kayak. Saya masih ingat bagaimana saya dan pasangan kayak saya bergaduh diatas kayak sebab masing-masing mengayuh tidak ikut step dan tak sekata. haha.. bila difikirkan kembali, memang rasa lawak pula.

Lebih kurang 2 jam kami berkayak, saya dapati ada air mula masuk ke dalam kayak kami sedikit demi sedikit. Saya rasa tak sedap hati. Saya mula membuang air menggunakan botol yang dipotong. Jadi, kami masih lagi bertahan lama. Disebabkan ego kami, kami masih boleh bertahan selama satu jam untuk berkayak sedangkan perjalanan masih jauh. Bila kami rasa tak selamat, kami memanggil bot polis untuk minta bantuan.

Jadi, kami terpaksa menaiki bot polis dan berhenti berkayak. Kayak kami penuh dimasuki air. Apa boleh buat, kayak sudah bocor. Kami amat kecewa sebab kami tak dapat menamatkan ekspedisi kami itu. Kayak lebih pun tiada. Kami berhenti rehat di satu jeti sementara menunggu peserta lain. Saya dan Amzar berjalan-jalan di satu kampung untuk mencari masjid untuk solat zohor. Kami tersesat di kampung itu. Anggota polis menunggu kami di jeti dengan begitu lama.

Sewaktu berjalan-jalan, kami jumpa orang kampung dan bertanyakan jalan ke jeti. Nasib baik orang kampung itu peramah. Ramai yang membantu kami dan ramai meluru ke jeti untuk melihak aksi kami berkayak. Bila kami sampai ke jeti, kami dimarahi sebab menghilangkan diri. Jadi, apa boleh buat. Kami dapati ada satu kayak kosong. Kayak tu kepunyaan satu pasangan budak perempuan. Budak perempuan tu kepenatan. Jadi kami ambil alih kayak mereka.

Kami rasa sangat suka dan gembira. Walaupun kami dah ditinggalkan, kami tetap bersemangat untuk berkayak. Kami berjaya tiba di jeti penamat. Saya rasa sangat penat dan puas. Pengalaman ini sukar saya lupakan dan layak diabadikan dalam blog ini.






Peserta pertama turun ke sungai ^_^



Saya harap, pengalaman seperti ini akan dapat saya rasai lagi.

BUBBLEBOY90

Friday, August 19, 2011

Kamen Rider OOO

Assalamualaikum! Entri blog kali ini, saya nak ceritakan sedikit mengenai Kamen Rider OOO. Saya faham, memang cerita sebegini sesuai ditonton oleh kanak-kanak sahaja tapi ia tak salah jika ditonton oleh orang dewasa jua. Saya memang minat menonton filem-filem atau movie-movie sebegini. Bagi saya ia meriangkan dan boleh menghilangkan stress.

Pertama sekali saya nak memperkenalkan teknik pertukaran Combonya. Semuanya adalah seperti berikut;

Combo

1) Tatoba Combo (Multi Combo)


2)  Latoratah Combo (Scorching Combo)


3) Gatakiriba Combo (Strongest Combo)

4) Sagozo Combo (Gravity Combo)

5) Tajadol Combo (Blazing Combo)

6) Shauta Combo (Marine Combo)


7) Putotyra Combo (Invincible Combo)


8) Krakawani Combo (Reptile Combo)


Layan cerita begini best juga. Walaupun nampak kebudak-budakan, saya tak kesah asalkan saya boleh merehatkan minda saya. Sambil tengok, sambil senyum. Teringat pulak quotes Dr. Fran Mason a.k.a Clown Docter;

                "Happiness is the best medicine in the world".


-BUBBLEBOY90-

Kolej Profesional Mara Bandar Penawar (KPMBP)

Assalamualaikum dan hai.. Dalam entri ini, saya nak menceritakan tentang Kolej Profesional Mara Bandar Penawar. Kolej ini ada sejarah dalam hidup saya. Saya pernah belajar disini pada tahun 2008-2011. Saya melanjutkan pengajian dalam level Diploma dengan mengikuti kursus Diploma In Integrated Logistics Management disana. Selama 3 tahun saya berada dan memerah otak disana. Kini Alhamdulillah, saya sudah berjaya mengapai impian saya untuk merasa segulung diploma dari sana.

-Logo Kolej-

Saya tak mahu bercerita panjang perihal diri saya disana. Entri ini, saya nak menceritakan tentang Kolej Profesional Mara Bandar Penawar atau dikenali sebagai KPMBP. KPMBP ini menyediakan 2 jenis kursus Diploma iaitu Perakaunan dan Logistik, dan satu Program Intensif Persediaan. Kolej ini telah beroperasi pada 17 Mac 2008. KPMBP ini bertempat di Bandar Penawar, dalam daerah Kota Tinggi, di kawasan Dun Pengerang. Alamat penuhnya adalah seperti berikut;

          Jalan Ungku Abdul Aziz,
          81930, Bandar Penawar,
          Kota Tinggi,
          Johor Darul Takzim.

Pelbagai fasiliti yang tersedia di Kolej ini untuk para pelajar. Antaranya ialah;

1) Surau:


2) Gelanggang Takraw:


3) Gym:


4) Asrama (2 blok):



5) Kemudahan Kenderaan kolej:

-Van-


-Bas-


6) Blok kuliah (dibulatkan merah)


7) Pejabat Kolej (Admin)




Masih banyak lagi kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kolej yang tak dapat saya tunjukkan disini. Antaranya ialah kafeteria, Dewan utama, Dewan kuliah, Perpustakaan, gelanggang badminton, padang bola sepak padang petangue, dan gelanggang tenis. Saya tidak sempat untuk snap lebih banyak gambar sewaktu saya berada disana. Hanya ini sahaja yang boleh saya kongsi bersama.

Kepada mana-mana pelajar baru yang akan mendaftarkan diri disana, tiada apa yang perlu dirisaukan. Kebanyakan fasiliti mencukupi dan para tenaga pengajar juga adalah dari kalangan profesional. Segala kejayaan datangnya dari diri sendiri bukan dari diri orang lain. untuk maklumat lanjut, bolehlah layari; www.kpmbp.kotatinggi.edu.my untuk maklumat lanjut berkaitan syarat permohonan dan program yang ditawarkan.

-BUBBLEBOY90-

Entri yang pertama

Assalamualaikum! Huh! Malam ini tanggal 18/8/2011 bersamaan hari Khamis jam 11.55p.m, blog ini berjaya di createkan. Sebelum ini, saya dah mempunyai 2 buah blog tetapi kedua-duanya telah tidak digunakan lagi.

Blog saya ini tidaklah semenarik blog-blog yang lain. Bahasa-bahasa yang digunakan juga tidak mengandungi unsur mencarut atau memakihamun sebab saya anti dengan perkataan-perkataan sebegitu. Ia buatsaya rasa mual.

Sebenarnya, saya pun tidak tahu apa yang saya nak tulis dalam blog ini. Tapi, tak mengapa. Kadang-kala, saya perlukan satu tempat untuk saya meluahkan segala apa benda yang terbuku dihati saya. Jadi, saya rasa dengan berblogging ini lebih jauh selamat dan praktikal.

 JIka sesiapa berminat nak baca blog saya ni, teruskanlah membaca. Saya tidak melarang dan tidak marah cuma satu sahaja yang saya minta. Janganlah mengutuk dan mempersendakan diri terhadap apa yang saya luahkan dalam blog saya ini.

Sekian, Terima Kasih

-BUBBLE BOY90-